Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pencapaian calon UPSR tahun ini memberi memberi fokus kepada tahap penguasaan minimum iaitu calon pencapaian sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran.

“Jika dibandingkan dengan peratusan mencapai tahap penguasaan minimum tahun 2016, peratusan calon yang mencapai penguasaan tahap minimum meningkat sebanyak 1.6 peratus iaitu seramai 293,514 (68.1 peratus) calon pada tahun 2017 berbanding 293,184 (66.5 peratus) calon pada tahun 2016.

“Peratusan calon yang belum mencapai tahap minimum iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu gred E turun sebanyak 0.9 peratus iaitu 30.2 peratus pada tahun 2017 berbanding 31.1 peratus pada tahun 2016,” katanya pada sidang akhbar Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) di sini hari ini.

Amin menjelaskan, peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum iaitu gred E dalam semua mata pelajaran turun sebanyak 0.7 peratus iaitu 1.5 peratus pada tahun 2017 berbanding 2.2 peratus pada tahun 2016.

Pada tahun ini, seramai 443,794 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR.

Daripada jumlah itu, 433,536 atau 97.7 peratus adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan manakala 10,258 (2.3 peratus) adalah calon sekolah swasta.

UPSR telah dijalankan pada 11 hingga 14 dan 18 September lalu di 8,085 pusat peperiksaan. - K! ONLINE