Dalam serbuan pada pukul 11.45 malam tersebut telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

Difahamkan, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis di ketiga-tiga lokasi membabitkan Jalan Tun Razak (2) dan Jalan Pudu (1).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati, kesemua wanita yang ditahan merupakan warga Vietnam (16) dan Indonesia (9) berusia dalam lingkungan 23 hingga 47 tahun.

"Kesemua GRO yang ditahan ketika serbuan berkenaan disyaki bekerja sebagai tukang urut selain menawarkan perkhidmatan seks  dengan bayaran serendah RM60 hingga RM80 bagi setiap sesi.

"Kita juga mendapati ketiga-tiga premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan selain membabitkan wanita warga asing tanpa permit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kesemua 29 individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut sementara empat penjaga premis berkenaan akan direman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 373 kanun yang sama, Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1963, Seksyen 55(B) Akta yang sama dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963. - K! ONLINE