Premis yang terletak berdekatan satu sama lain itu diserbu sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bermula kira-kira pukul 10.15 sehingga 10.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam tentang kegiatan judi berkenaan yang kembali aktif serta hasil risikan sejak seminggu yang lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati, kedua-dua premis tersebut mempunyai kaitan yang mana premis yang pertama diserbu adalah tempat untuk kaki judi membuat tambah nilai serendah RM20 sehingga RM100 sebelum mereka pergi berjudi di premis kedua.

"Hasil serbuan di premis pertama, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh serta merampas sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM200.

"Serbuan dipremis kedua pula berjaya menahan lima lagi lelaki tempatan terdiri daripada empat kaki judi dan seorang pekerja premis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baharuddin berkata, serbuan dipremis kedua juga pihaknya telah merampas lima unit tab jenis Samsung dan sebuah modem serta wang tunai RM370 yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian.

"Keenam-enam yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga lewat 30-an itu kemudiannya di bawa ke IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM100,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius kegiatan perjudian online khususnya dan kita menegaskan tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dengan aktiviti tersebut. - K! ONLINE