Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat milik kerajaan itu berkata, ia masih menunggu arahan daripada MoF bagi kelulusan pelan rasionalisasi kos secara komprehensif.

Pada Khamis lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kabinet telah telah meluluskan projek LRT3 diteruskan dengan kos akhir yang berjumlah RM16.63 bilion.

Jumlah kos tersebut adalah 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal yang bernilai RM31.65 bilion, sekali gus dapat menjimatkan RM15.02 bilion berbanding kos asal RM31.65 bilion.

Guan Eng berkata, ini termasuk kos keseluruhan projek namun tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), kos pengambilan tanah, kos pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan dan kos-kos lain yang berkaitan, 

Prasarana berkata, ia akan turut menyokong keputusan membatalkan stesen dengan bilangan penumpang yang rendah daripada jajaran bagi mengurangkan lagi kos berikutan kekangan kewangan.

"Bagaimanapun, peruntukan telah dibuat bagi pembinaan stesen baharu atau menambah baik stesen sedia ada apabila wujud permintan di masa depan," kata Prasarana.

Menurutnya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat juga menyokong sepenuhnya keputusan MoF berhubung pelan rasionalisasi kos dan pengurangan setesen LRT3.

Laluan LRT baharu itu dijangka memenuhi keperluan seramai dua juta penumpang dengan kapasiti mengangkut seramai 36,700 penumpang sejam bagi setiap laluan.

Pada 30 Mac 2018, Prasarana telah mengemukakan kos projek LRT3 yang berjumlah RM31.65 bilion dan memohon pembiayaan kewangan tambahan sebanyak RM22 bilion, juga dalam bentuk jaminan kerajaan selain pembiayaan awal RM10 bilion diberi pada 2015 bagi menampung projek tersebut. - Bernama