“Aku akan bawa dua atau tiga orang bodyguard!” jawabnya.

“Kenapa pula?” soal saya.

Pantas rakan saya itu menitipkan jawapan.

Katanya: “Mengeluarkan wang di bank, tak kiralah banyak mana pun, apatah lagi kalau RM26,000, ia pasti meletakkan kita dalam risiko untuk disamun terutama oleh golongan mat rempit!”

Ya. Semudah itu pemikirannya. Hal tersebut mungkin kelihatan seperti suatu perkara kecil sahaja, tetapi bagi bagi rakan saya itu, malang sememangnya tidak berbau.

Namun adakah disebabkan terlalu sibuk menjalani urusan harian, kita pula sebaliknya leka dan alpa, sehingga terus melupakan akan maksud peribahasa tersebut bahawa sebarang kecelakaan itu boleh sahaja terjadi secara tiba-tiba.

Justeru, sebagai persediaan untuk menghadapi malang yang tidak berbau itu, adakah kita cukup sekadar berhati-hati atau perlu sehingga ke tahap berprasangka buruk?

Bagaimanapun dalam Islam, sikap berprasangka buruk itu sangat dilarang dan hukumnya adalah berdosa.

Namun, timbul dalam benak fikiran saya, apakah dengan berhati-hati sahaja tidak lagi cukup sehingga kita perlu berprasangka buruk terhadap orang-orang di sekeliling?

Terutama sekali, jika kita berada dalam senario perlu mengeluarkan wang berjumlah RM26,000 itu di bank di negara seper­ti di Malaysia yang sudah acap kali berlaku kes samun oleh golongan mat rempit.

Saya terpanggil untuk memperkatakan tentang perkara tersebut ekoran kejadian di Dungun, Terengganu baru-baru ini, membabitkan seorang Ahli Parlimen yang disamun lelaki bermotosikal selepas mengeluarkan wang berjumlah RM26,000 dari me­sin ATM, biarpun dia ketika itu sudah berada di dalam keretanya.

Ya. Mangsa yang berumur 62 tahun itu seorang diri mengeluarkan wang berjumlah RM26,000.

Saya tidak tahu butir perincian kejadian tersebut dan bukan sesekali hendak menyalahkan mangsa ber­kenaan, tetapi sekali lagi muncul dalam benak fikiran saya, perlukah kita berprasangka buruk terhadap orang-orang di sekeli­ling jika kita berada dalam senario Ahli Parlimen tersebut?

Sama juga kes-kes mang­sa penipuan sindiket Macau Scam dan Love Scam yang kehilangan wang dalam jumlah yang banyak, sehingga ada individu yang pada tahun ini dilaporkan meng­alami kerugian mencecah setengah juta ringgit, juga sudah acap kali berlaku.

Namun, kenapa ia berulang dan berterusan kembali berulang?

Adakah masyarakat kita alpa kerana tidak pernah mengambil tahu akan be­rita semasa mengenai kecelakaan-kecelakaan yang sudah acap kali berlaku itu?

Saya rasa sudah sampai masa untuk masyarakat kita sedar (khususnya bagi yang tidak menyedarinya) bahawa sebenarnya ada jenis prasangka buruk yang dibolehkan dalam Islam.

Izinkan saya memetik penjelasan oleh Syaikh As Sa’di menerusi surah Al-Hujurat Ayat 12 yang bermaksud: “Allah Taala melarang sebahagian besar prasangka terhadap sesama Mukmin, kerana ‘sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa’, iaitu prasangka yang tidak sesuai dengan fakta dan bukti-bukti.”

Maknanya, jika suatu prasangka didasari bukti atau fakta, maka ia tidak termasuk­ ‘sebahagian prasangka’ yang dilarang itu.

Justeru, dalam senario seperti yang saya sebutkan di atas, yang terbukti boleh menyebabkan kita berada dalam risiko bahaya, jelas sekali perlu berprasangka buruk terhadap apa jua yang ada di sekeliling kita.

Jangan kerana terlalu mahu berprasangka baik sebab takut akan dosa, kita pula yang menjadi mangsa kealpaan diri sendiri.