Pengerusi Ahli Jemaah Pengarahnya, Datuk Tengku Aziz Tengku Jaafar berkata, pemutihan itu juga akan dapat memastikan semua petani akan menerima subsidi baja daripada kerajaan mengikut keluasan sebenar sawah yang diusahakan mereka.

“Program pemutihan berjalan dengan baik. Mengikut daftar rekod lama, ada petani mengaku memiliki lima relung, tetapi sebenarnya cuma tiga relung saja (1 relung=0.28 hektar). Ini yang hendak kita bersihkan,” katanya kepada media pada program Reformasi Peladang Perlis di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mata Ayer di sini, hari ini. 

Tengku Aziz yang juga ahli jemaah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata, terdapat petani yang mengistiharkan keluasan sawah sebagai diusahakan, sedangkan ianya telah dibina rumah ataupun bangunan, semata-mata mendapatkan baja bersubsidi yang kemudiannya dijual kepada pihak lain.

Katanya, program pemutihan itu yang membabitkan sawah seluas 11,950 hektar di seluruh Perlis, dijangka selesai tidak lama lagi. 

Baru-baru ini, media mendedahkan ketiadaan data lengkap jumlah petani aktif, menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketirisan dan penyelewengan agihan baja bersubsidi yang diperuntukkan kepada petani di seluruh negara.

Program Reformasi Peladang Perlis 2019 yang berlangsung dua hari anjuran Nafas itu dirasmikan secara bersama, ahli Jemaah Nafas, Wan Kharizal Wan Khazim dan Tengku Aziz. 

Program itu diadakan di 29 lokasi di seluruh negara bertujuan mengeratkan hubungan antara Nafas dan PPK serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selain memberikan input kepada golongan petani mengenai dasar-dasar kerajaan dan hala tuju industri pertanian negara.

Antara program dijalankan termasuklah ‘Cerna Minda Tani’ iaitu kursus Agroprenuer Muda, program ‘Jualan Untuk Kita’ (jualan barangan keperluan asas) dan Ziarah Peladang. - Bernama