Serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu dilakukan selepas anggota PPM Pelabuhan Klang mengekori sebuah kereta penyeludup di Pekan Kapar.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pemandu kereta terbabit bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas menyedari diekori hampir 40 kilometer.

Katanya, pihaknya kemudiannya berjaya mengesan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 43 tahun sedang mengangkat sebuah kotak di depan sebuah rumah kedai dipercayai dibawa oleh kenderaan penyeludup tersebut.

"Hasil pemeriksaan telah menemui 308 karton rokok seludup bernilai RM44,762 yang disimpan di dalam rumah kedai terbabit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek bekerja sebagai penjaga stor dan mengaku menyimpan rokok di rumah sewanya di kawasan berhampiran lokasi serbuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Rosman, suspek warga Bangladesh itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 20 kes tangkapan dilakukan membabitkan rampasan rokok, arak dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM10.66 juta bermula awal Januari hingga Julai ini.

"Ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak enam kes dengan rampasan bernilai RM367,225," katanya. - K! ONLINE