Penyerahan kunci rumah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Projek itu dilancarkan pada 8 April 2015 dan sepatutnya siap pada Mei 2019 namun pemaju projek Tetuan Aset Kayamas Sdn Bhd telah menyiapkannya lebih awal.

Harga jualan yang ditetapkan PPA1M adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan daripada 1,000 hingga 1,434 kaki persegi berbanding nilai pasaran mencecah RM500,000 seunit.

Terdapat dua blok kediaman di PPA1M Bukit Jalil yang turut dilengkapi kemudahan seperti klinik, kiosk, surau, tadika, taska, taman permainan kanak-kanak dan dewan serba guna yang boleh menempatkan 600 orang pada satu-satu masa.

PPA1M Bukit Jalil adalah projek pertama PPA1M dan Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai usaha dan inisiatif kerajaan menyediakan perumahan dengan harga lebih rendah untuk kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam khasnya kumpulan sokongan dalam golongan B40 (kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah).

Sehingga kini, kerajaan meluluskan sejumlah 135,456 unit PPA1M yang terdiri daripada 433 projek seluruh negara, dan 17,191 unit (22 projek) adalah di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan PPA1M dikawal selia Unit PPA1M di bawah Jabatan Perdana Menteri. - Bernama