Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata, PPA1M Kenangan dan Cempaka yang akan dibangunkan ini mempunyai sejumlah 2,492 unit kediaman dengan saiz 850 kaki persegi, 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi dengan harga pasaran antara RM120,000 hingga RM300.000 mengikut keluasan.

"Sebanyak 50 peratus (1,200 unit) daripada jumlah unit pembangunan rumah PPA1M ini akan diperuntukkan kepada anggota polis bagi mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) manakala selebihnya untuk kakitangan awam lain.

"Nilai subsidi yang disediakan oleh kerajaan adalah antara RM30,000 sehingga RM100,000 seunit bergantung kepada keluasan rumah tidak termasuk nilai tanah di Putrajaya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlsi Pecah Tanah dan Menandatangani Perjanjian PPA!M Kenangan dan Cempaka, Presint 19, di sini.

Menurut Ali, pembangunan PPA1M tersebut selaras Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju menawarkan 10,000 unit PPA1M kepada anggota PDRM bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan para penjawat awam dalam menjalankan tugas.

"Saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), sekiranya terdapat tanah-tanah sesuai di bawah PDRM atau KDN, kita boleh membina lebih banyak rumah PPA1M untuk anggota PDRM. 

"Para anggota Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM merupakan tunjang kepada jentera keselamatan negara. Justeru itu, keperluan rumah mampu milik bagi mereka akan sentiasa menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara demi menghargai jasa tentera dan polis yang telah mencurah bakti," katanya. - K! ONLINE