Itu taktik sebuah premis di Taman Kapar Ria, Kapar di sini yang terbongkar hasil serbuan pukul 12 tengah malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK).

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor berkata, serbuan Ops Dadu itu hasil risikan dilakukan pihaknya terhadap kedai arak berkenaan yang dijadikan sarang judi sejak sebulan lalu.

Katanya, berdasarkan risikan mendapati  hanya pelanggan tetap dan warga tua dari penduduk tempatan yang dikenali sahaja memasuki premis itu.

"Siasatan turut mendapati taruhan judi adalah serendah RM10 dan dihidangkan arak bagi memastikan pelanggan leka dan terus 'melekat' di meja judi.

"Hasil serbuan itu, seramai 23 pemain dan dua penjaga berusia lingkungan 50 hingga 70-an dicekup ketika sedang berjudi daun terup,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, turut dirampas termasuk lapan buah kerusi, dua meja, wang tunai RM3,115 serta 114 keping daun terup.

Azmi menjelaskan, kesemua suspek dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - K! ONLINE