Timbalan Ketua Penyelidik MEME, Nottingham University Malaysia Campus, Prof. Madya Dr. Wong Ee Phin berkata, antara punca pengurangan mamalia itu ancaman perdagangan hidupan liar secara haram yang memburu gajah untuk mendapatkan gadingnya.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan yang menyebabkan hutan sedia ada dipisahkan mengakibatkan hidupan liar seperti gajah terbunuh akibat kemalangan.

“Konflik manusia dan gajah juga menjadikan ancaman terhadap hidupan itu. Apabila gajah merosakkan tanaman, ia sekali gus mengancam ekonomi peladang,” katanya di perasmian Zoorama dan Sambutan Hari Gajah Sedunia yang disempurnakan Pengarah Zoo Taiping Dr Kevin Lazarus di sini hari ini.

Beliau berkata, kajian pihaknya mendapati ada sekitar 1,500 ekor gajah di Semenanjung Malaysia dan 40,000 ekor di Asia.

“Terdapat tiga spesies gajah di dunia iaitu dua spesies di benua Afrika dan satu spesies di Asia,” katanya.

Sambutan Hari Gajah Sedunia diadakan pada 12 Ogos setiap tahun, bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan konservasi dan perlindungan untuk gajah dan habitatnya di seluruh dunia. - Bernama