Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 31 tahun itu diberkas dalam satu operasi selama dua hari bermula 25 November lalu.

Bekas banduan yang mempunyai 28 rekod jenayah lampau itu dikatakan telah menubuhkan Geng Sarvin selepas dibebaskan daripada penjara pada Jun lalu.

Mereka aktif memecah rumah dan pejabat di sekitar Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Putrajaya, Cyberjaya serta Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, suspek telah membuat perancangan jenayah di sebuah restoran bersama seorang pengawal keselamatan dan seorang suri rumah sebaik dibebaskan.

Katanya, polis yang menjalankan operasi kemudian dapat memberkas kesemua suspek berdasarkan beberapa petunjuk dan maklumat awam.

“Selain memberkas suspek, kita turut merampas 18 buah kompu­ter riba, tujuh unit komputer, peralatan pecah rumah dan sebuah kereta klon jenis Toyota Wish.

“Susulan tangkapan tersebut, polis turut menahan dua lagi lelaki Pakistan yang membeli komputer riba daripada Geng Sarvin di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, penangkapan itu dipercayai dapat menyelesaikan 20 kes pecah rumah dan pejabat termasuk dua makmal kompu­ter di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur dan Universiti Limkokwing melibatkan kerugian RM100,000.

Menurut Abdul Aziz, siasatan mendapati Geng Sarvin memiliki kad akses dan kunci yang membolehkan mereka memecah masuk untuk mencuri komputer serta komputer riba.

“Kita percaya ada lagi kes me­libatkan geng ini namun tidak dilaporkan,” katanya.

Ujar Abdul Aziz, polis sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Ravi Suppiah, 40, dari Kajang, Selangor untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Husny Husin di talian 014-736 8377 bagi membantu siasatan.