Kesemua suspek yang menganggotai Geng Abang Fahmi itu ditahan pada pukul 4.35, iaitu kira-kira satu jam selepas mereka melakukan jenayah tersebut.

Kumpulan tesebut dipercayai aktif melakukan aktiviti samun dan ragut bersenjata sejak tujuh bulan lalu di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian sekitar pukul 3.30 petang itu, pihak polis menerima maklumat mengenai satu kejadian samun bersenjatakan pedang samurai sebelum menggerakkan anggota menjejaki suspek.

“Tidak sampai satu jam selepas maklumat diterima, pasukan Task Force D4 Polis Kuala Lumpur berjaya mengesan dan menahan empat suspek lelaki yang menunggang dua buah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda Ex5 dalam keadaan mencurigakan menghampiri sebuah kedai pajak gadai di kawasan Chow Kit.

“Suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 29 tahun dan hasil soal siasat mendapati kesemua mereka terlibat dalam kejadian samun rantai emas tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini sebentar tadi.

Turut dirampas bersama suspek adalah seutas rantai emas bernilai RM6,000, dua buah motosikal, lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama dan sebilah pedang samurai serta sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa.

Menurut Mazlan, penangkapan keempat-empat suspek itu berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes ragut serta samun di sekitar Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor. - K! ONLINE