Serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, empat suspek yang ditahan masing-masing dua lelaki tempatan dan dua warga Indonesia berusia dalam lingkungan 27 hingga 44 tahun.

Katanya, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 29.35 kilogram (kg) bernilai RM2.05 juta.

"Serbuan dibuat hasil perkongsian maklumat dan risikan daripada Badan Narkotikal Nasional Republik Indonesia.

"Kita percaya kesemua dadah itu diperoleh dari negara jiran sebelum diseludup ke Acheh, Indonesia melalui jalan air sama ada menggunakan nelayan, kapal dagang dan juga feri penumpang.

"Syabu tersebut hanya transit sahaja di negara ini sebelum sindiket berkenaan menyeludup semula dadah itu ke Indonesia yang mana harganya dijual tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga pasaran di Malaysia,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini.

 Turut dihadiri Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli. - K! ONLINE