Dalam serbuan yang dijalankan pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.30 malam, polis telah menahan empat lelaki warga tempatan di sekitar kawasan Kampung Medan, Batu Muda Off Jalan Ipoh di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 31 tahun itu bekerja sebagai penghantar surat di sekitar bandar ini.

“Berdasarkan maklumat daripada kesemua suspek, polis telah menemui 17 rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Batu berhampiran Stesen Komuter Batu 5, Jalan Ipoh di sini.

“Jumlah rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM60,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Munusamy menambah, kumpulan lelaki itu melakukan aktiviti mencuri tersebut di sekitar Lembah Klang antaranya di Sentul, Cheras, Brickfields, Wangsa Maju, Ampang dan Kuala Selangor.

“Motosikal yang dicuri itu akan dibawa ke sebuah bengkel di Kampung Medan yang dimiliki oleh salah seorang suspek untuk dileraikan untuk diambil komponen yang berharga dan selepas dileraikan akan dibuang ke sungai berhampiran.

“Komponen yang dileraikan mendapat permintaan tinggi sebagai alat ganti dan mudah untuk dijual,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. - K! ONLINE