Ketiga-tiga suspek berumur lingkungan 17 hingga 21 tahun itu ditahan di sekitar Sementa dan Jeram, Kuala Selangor antara pukul 3 petang hingga 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten komisioner Mazelan Paijan berkata, suspek pertama yang juga ketua kumpulan berkenaan  dikenali sebagai 'Kerek' ditahan di Jalan Lapis Enam, Sementa ketika dia sedang membonceng sebuah motosikal dipercayai dicuri.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, kita kemudiannya menyerbu dua buah rumah di sekitar kawasan Jeram, Kuala Selangor dan berjaya menahan dua lagi suspek.

"Selain menahan ketiga-tiga suspek, kita turut menemui lima motosikal dipercayai dicuri iaitu empat buah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah motosikal jenis Honda C70. Kelima-lima motosikal ini dianggarkan bernilai RM17,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mazelan memberitahu, Geng Kerek Jeram dipercayai telah bergiat aktif mencuri motosikal sekitar daerah ini dan Kuala Selangor sejak tahun lalu dengan menyasarkan motosikal jenis Honda.

"Modus operandi mereka ialah mencuri motosikal yang tidak mempunyai kunci pendua dan kemudian akan menjual motosikal itu atau komponennya kepada pihak ketiga.

"Kesemua suspek kini direman hingga 14 Ogos ini, dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah," ujarnya.

Jelasnya, usaha memburu tiga lagi ahli kumpulan terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri. - K! ONLINE