Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, aduan berkenaan perkara tersebut telah dimajukan kepada Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

“Beliau juga telah menghubungi pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Surat teguran akan dikeluarkan terhadap mereka supaya lebih peka dan sensitif untuk menjaga nama baik PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu ciapan di laman media sosial Twitter yang dibuat oleh seorang saintis dan juga pejuang hak pesakit Spina Bifida, Noraishah Mydin Abd. Aziz bahawa tapak parkir yang sepatutnya dikhaskan untuk golongan OKU telah diletakkan payung dan juga motosikal peronda milik PDRM.

Menurutnya lagi, kejadian tersebut berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil di sini kelmarin kira-kira pukul 2 petang.