Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, lima lelaki tempatan berumur antara 49 hingga 58 tahun itu serta remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan pada 24 dan 26 Julai lepas.

"Modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dengan menyatakan boleh membantu mangsa menguruskan kad pengenalan merah walaupun dokumen sokongan tidak lengkap.

"Akibat itu, mangsa yang percaya menyerahkan wang tunai RM150 untuk urusan kad pengenalan itu tetapi merasa tertipu apabila masih belum menerima kad pengenalan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadil, dalam dua siri tangkapan itu, pihaknya turut merampas 14 fail yang mengandungi salinan pasport pemohon, salinan sijil lahir pemohon, borang permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan merah dan dokumen kelulusan khas pendaftaran maklumat penduduk di Sabah. - Bernama