Dalam serbuan yang bermula pada pukul 7 malam itu, empat lelaki warganegara tempatan turut ditahan menjadikan  jumlah keseluruhan tangkapan seramai 88 orang dengan 29 orang daripadanya adalah wanita.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemuanya ditahan dalam sebuah bilik karaoke.

“Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu berdasarkan risikan dan maklumat awam yang dibuat selama seminggu.

“Kebiasaannya mereka mula berhibur pada pukul 1 petang sehingga ke tengah malam yang biasanya dilakukan pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi di IPD Serdang malam tadi.

Kebanyakan daripada mereka tidak menyedari kehadiran pasukan polis ketika serbuan kerana sedang khayal dalam pengaruh dadah dan muzik yang dipasang juga sangat kuat.

Ismadi menambah, penganjur parti itu menyewa bilik karaoke tersebut dengan kadar sebanyak RM280 sejam untuk warga Indonesia yang kebanyakkannya bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kilang di daerah ini.

“Kami turut merampas dadah yang terdiri daripada dua paket ketamin seberat 2.09 gram (g) dan 11 biji pil ekstasi seberat 4g.

“Semakan lanjut mendapati 59 orang warga Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan selanjutnya termasuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Seramai 64 individu didapati positif ujian tersebut dengan 23 daripadanya adalah wanita.

“Kesemua tangkapan kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - K! ONLINE