Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu, lelaki berusia 58 tahun bersama isteri dan pekerja mereka masing-masing berusia 41 tahun sedang membungkus air ketum ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sewaktu serbuan dijalankan, polis berjaya merampas 133 botol kecil yang mengandungi 83 liter air ketum dianggarkan bernilai RM3,000.

Jelasnya, polis turut merampas daun ketum seberat empat kilogram, 500 botol kosong, wang tunai sebanyak RM1,300 dipercayai hasil jualan air ketum dan beberapa alat untuk memproses daun ketum di dalam rumah tersebut.

“Hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek aktif mengedar air ketum sejak dua tahun lalu dan menjadikan rumah yang disewa itu sebagai lokasi untuk menjual bahan tersebut bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 malam setiap hari.

“Rata-rata pelanggan mereka terdiri daripada golongan pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi di daerah ini yang dipercayai mampu memberi tenaga kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, pasangan suami isteri itu mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM 500 sehari dengan anggaran jualan air ketum sebanyak 100 hingga 150 botol.

Jelasnya, hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, mereka mampu mengaut keuntungan sebanyak RM15,000 sebulan hasil jualan air ketum kepada golongan pelajar. - K! ONLINE