Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon, berkata, kedua-dua suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan pada pukul 12 tengah malam tadi.

Jelasnya, suspek lelaki ditahan di rumah mereka manakala isterinyta ditahan sewaktu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sini.

"Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Khamis depan. Polis juga sedang menyiasat motif pembunuhan wanita tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, mayat seorang wanita, S. Letchumi,28, ditemui dalam keadaan terlentang dipercayai mati dibunuh sebelum ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit semalam.

Siasatan mendapati terdapat kesan jerutan pada leher mangsa dan kepalanya juga cedera dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Mangsa juga dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggalkan di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, menurut Kong Soon, hasil bedah siasat di Hospital Kampar semalam mendapati, kematian mangsa berpunca daripada pukulan objek tumpul bertubi-tubi di bahagian kepala.

Jelasnya, mangsa juga dipercayai bergelut dengan suspek sebelum dia dibunuh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE