Lelaki yang berusia 33 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam serbuan kira-kira pukul 7.10 malam hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek berperanan sebagai penerima nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) untuk urusan kemasukan wang ke dalam akaun.

“Dia kemudian memberikan nombor TAC itu kepada pihak sindiket tersebut selain ditugaskan menyimpan kad-kad ATM dan telefon bimbit yang diperolehi oleh ahli-ahli sindiket yang lain.

“Suspek turut membantu ahli sindiket yang lain untuk melakukan pindahan wang secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rudy menambah, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, pihak polis telah merampas beberapa barangan yang digunakan oleh suspek antaranya 56 keping kad bank, 23 unit telefon bimbit, 13 keping kad sim dan juga komputer riba.

“Polis mengesyaki bahawa terdapat beberapa lagi ahli sindiket yang masih belum ditahan dan kondominium itu menjadi salah satu tempat untuk sindiket tersebut menjalankan operasinya.

“Suspek dibawa ke IPD Dang Wangi dan direman selama empat hari sehingga esok. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali atau mencurigakan.

Sebarang maklumat berkaitan penipuan Macau Scam boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Dang Wangi di talian 03-2600 222. - K! ONLINE