Dalam serbuan kira-kira pukul 2.15 pagi itu, suspek yang berumur 37 tahun ditangkap selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan mengedar dadah sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan A. Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil risikan suspek disyaki menggunakan rumah yang didiami bersama ibunya sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah termasuk heroin, ketamin dan pil ekstasi.

"Semasa serbuan, pintu rumah berkenaan dibuka oleh ibu suspek berumur 63 tahun dan wanita itu menunjukkan kepada polis bilik didiami lelaki berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kita telah menjumpai heroin seberat 1,840 gram, ketamin (2,940 gram) dan 1,300 biji pil ekstasi yang telah dibungkus dalam peket kecil selain wang tunai RM9,000 dipercayai hasil jualan bahan terlarang tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Alor Gajah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Abd. Rahman dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Inspektor Muhamad Amin Padzil.

Jelas Asmadi, suspek yang bekerja sendiri kini direman selama tujuh hari sehingga 10 Januari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. - K! ONLINE