Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 40 tahun berang apabila anak lelakinya berusia 10 tahun menghubungi isteri memaklumkan dia memandu kereta dalam keadaan mabuk kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

"Wanita itu kemudian meminta suspek memberhentikan kereta kerana bahaya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, suspek yang tiba di rumah tersebut kira-kira pukul 4.40 petang hari sama bersama anaknya bertindak menumbuk, menendang dan menampar isterinya yang berusia 38 tahun.

"Suspek turut memukul ibunya berusia lingkungan 60-an yang berada di lokasi kejadian," ujarnya.

Tambahnya, wanita terbabit yang ketakutan terus membuat laporan polis berhubung kejadian dan suspek berjaya ditahan pada pukul 6 petang semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. - K! ONLINE