Kesemua tangkapan ditahan di dua premis di Lorong Brunei 3, Off Jalan Pudu di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 2.45 pagi, sepasukan polis daripada Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menahan empat lelaki warganegara Myanmar dan dua lelaki warganegara tempatan.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 40 tahun dan polis turut merampas beberapa barangan antaranya komputer riba, modem dan wang tunai bernilai RM233.

“Premis tersebut hanya sempat beroperasi selama seminggu dan menjalankan aktiviti perjudian serta pertaruhan online sebelum diserbu oleh pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Kesemua tangkapan direman selama tiga hari bagi warga tempatan dan 14 hari untuk warga Myanmar. Siasatan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) dan 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Rudy menambah, serbuan kedua pula dibuat kelmarin kira-kira pukul 8.20 malam dan telah menahan seorang lelaki dan wanita warganegara Indonesia di sebuah premis di Jalan Brunei 3, Off Jalan Pudu di sini.

“Kedua-dua suspek berusia 30 dan 31 tahun dan hubungan mereka adalah rakan sekerja di premis tersebut yang dalam proses untuk beroperasi.

“Kami turut merampas beberapa unit komputer riba, modem dan wang tunai bernilai RM200,” ujarnya.

Kesemua tangkapan direman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Cawangan D7 IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 melalui Asisten Superintendan Didi Fairuz Zainal Abidin dan Asisten Superitendan Ahmad Safry Abdullah Azizi. - K! ONLINE