Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri, Superintendan Tan Hiap Seng berkata, dalam operasi bersama Jabatan Imigresen itu, 19 orang warga Indonesia dan seorang warga Timor Leste ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Seorang lelaki  berusia 54 tahun dipercayai majikan turut ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah tapak pembinaan terletak di persimpangan Bekenu Jalan Lama Miri-Bintulu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tan berkata, kesemua warga asing tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh ditetapkan di negara ini, menyalah guna pas kerja dan tidak memiliki dokumen sah perjalanan.

"Warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bekenu untuk tindakan susulan oleh Jabatan Imigresen," katanya. - Bernama