Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 39 tahun ditahan oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri sewaktu melaksanakan operasi khas sehingga 4 September lalu.

Menurut beliau, pelbagai jenis dadah dirampas iaitu heroin seberat 825 gram (g), syabu (257g), ganja (138g), pil ecstasy (10 biji) dan pil eramin 5 (15 biji) dianggarkan bernilai RM46,082. 

"Serbuan yang dijalankan pihak JSJN Negeri Sembilan turut merampas enam motosikal, barangan kemas dan wang tunai. Jumlah sitaan itu bernilai RM17,569.

"Serbuan yang dijalankan juga berjaya mengesan dua kenderaan curi iaitu motosikal jenis Ducati dan Yamaha yang pernah dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azam berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati 15 daripada mereka positif dadah.

Tambahnya, pemeriksaan rekod juga mendapati 15 suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek kini ditahan reman bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. - K! ONLINE