Operasi tersebut dijalankan kira-kira pukul 6 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan dan Trafik (BSPT) Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ketika ditahan kesemua pelajar tersebut disyaki menunggang dengan aksi merbahaya dan menuruni bukit dari Jalan Impian Makmur ke sebuah sekolah di Saujana Impian di sini.

“Anggota kami telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap kesemua penunggang basikal tersebut.

“Hampir semua basikal yang digunakan tidak mempunyai spesifikasi yang selamat untuk ditunggang kerana telah diubahsuai mengikut citarasa masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, kesemuanya telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 9 hingga 15 tahun dan ia merupakan kali pertama mereka ditahan oleh pihak berkuasa.

“Pihak polis telah memanggil kesemua ibu bapa yang ditahan dan diberikan penerangan tentang bahaya basikal lajak dan kesannya kepada penunggang jika berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini. Mereka juga telah bersetuju untuk tidak mengambil basikal yang ditahan dan diserahkan kepada BSPT Kajang untuk tindakan seterusnya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kesemua basikal ditahan mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala penunggang pula dibebaskan dan disaman mengikut Peraturan 42(1)(a) LN166/159 di bawah Kaedah-kaedah Lalulintas 1959.

Menerusi operasi yang julung kali dilaksanakan pada tahun ini, tiada sebarang kemalangan dan kecederaan berlaku terhadap penunggang basikal yang ditahan. - K! ONLINE