Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Noor Rashid Ibrahim berkata, setakat ini beliau masih belum berpeluang meneliti atau menyemak laporan yang dibuat pihak terbabit.

"Untuk kes penerimaan dana, bagi saya tiada sebarang masalah namun kita akan siasat dahulu untuk kegiatan apa dan sebagainya.

"Kalau dana yang diterima itu tidak berkait dengan sebarang kesalahan jenayah, maka tidak ada sebarang tindakan yang akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kolokium Kaunselor Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM, di sini hari ini.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli bersama kesemua wakil Dewan Pemuda Pas negeri seluruh negara melakukan laporan polis berhubung penerimaan dana oleh DAP dari Israel.

Menurut Ahmad, jika Pas boleh disiasat berhubung penerimaan dana RM90 juta, maka tiada alasan untuk menghalang siasatan sama dilakukan terhadap DAP. - K! ONLINE