Dalam serbuan pada pukul 4.40 petang itu, pihak berkuasa turut menahan seramai lapan suspek berusia antara 24 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warganegara Pakistan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd. Rasid berkata, wang tunai berjumlah RM66,271 juga dirampas dalam serbuan terbabit.

"Berpandukan maklumat dan risikan kami berjaya membongkar kegiatan kesemua suspek yang disyaki mengedar barangan tanpa cukai di sekitar daerah ini.

"Dalam serbuan tersebut kami menemui sejumlah tin dan botol minuman keras, rokok serta mercun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sabah, Datuk Salehhudin dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan), Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun.

Tambah Razarudin, semua barang tanpa cukai itu disembunyikan di dalam empat buah lori dan sebuah van.

"Sebanyak 934 karton tin minuman keras,13 kotak botol minuman, 717 kotak rokok dan 124 kotak mercun yang dirampas dihantar ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 Akta Kastam 1967. - K! ONLINE