Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R.Munusamy berkata, hasil daripada risikan yang dilakukan, tiga serbuan telah dilakukan di Taman Sri Kucing, Jalan Ipoh dan Jinjang Utara kira-kira pukul 11 pagi tadi.

"Serbuan yang dilakukan di Taman Sri Kucing mendapati sebuah premis ada menjual jenama minuman keras yang disyaki mengakibatkan kematian empat individu pada 14 September lalu.

"Sebanyak 18 botol minuman keras jenama Grand Royal Whiskey dan 5 botol jenama Mandalay Whisky bernilai kira-kira RM300 telah dirampas serta dua orang lelaki penjaga premis berkenaan turut ditahan," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sejurus selesai operasi serbuan dilakukan.

Menurut Munusamy, dua lagi premis yang diserbu tidak menjual minuman keras jenama tersebut dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Dua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 60-an dan seorang warga Bangladesh berusia 40-an.

"Buat masa ini, kedua-dua lelaki tersebut ditahan kerana tidak memiliki lesen bagi menjual minuman keras," ujar beliau.

Munusamy berkata, pihaknya kini sedang di dalam proses untuk mengenalpasti sumber mereka mendapatkan minuman keras beracun itu dan tidak menolak kemungkinan ia diseludup dari negara jiran. - K! ONLINE