Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, laporan polis dilakukan di Balai Polis Sungai Kapar pukul 6 petang semalam. 

Katanya, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. 

"Berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Sabtu lalu apabila dua van berwarna putih yang dinaiki lapan suspek telah berhenti berhampiran SRA tersebut. 

"Dua daripadanya telah mendekati mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di hadapan SRA itu sebelum diselamatkan orang awam," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Jelas beliau, semasa kejadian didapati tiada pengawal keselamatan di sekolah tersebut. 

"Usaha mengesan kesemua individu yang terlibat sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah," katanya. 

Kosmo! Online semalam melaporkan seorang murid dikenali Nurul Wahidah Abdul Rahman mendakwa dirinya hampir menjadi mangsa penculikan lapan suspek memakai topeng menaiki dua buah kenderaan van putih. 

Berdasarkan nota dengan tandatangan mangsa yang tular di laman sosial Facebook mendakwa dua suspek didapati turun daripada van untuk menangkapnya namun diselamatkan oleh seorang pakcik tua. 

Kejadian dikatakan berlaku pukul 10.30 pagi pada Sabtu lalu ketika mangsa balik menghadiri kelas tambahan di sekolah tersebut. 

Insiden itu yang tular di laman sosial Facebook telah menimbulkan kegusaran di kalangan para ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka. - K! ONLINE