Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, tiada sebarang kes penculikan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki seperti yang digemburkan menerusi media sosial.

"Pihak polis menafikan kes tersebut dan orang ramai diberi amaran supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mendatangkan kebimbangan kerana ia menyalahi undang-undang.

"Bagaimanapun, kami turut menjalankan siasatan dan tindakan akan diambil terhadap individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu itu," katanya hari ini.

Terdahulu, baru-baru ini masyarakat tempatan panik apabila dikejutkan dengan satu status dalam laman sosial Facebook yang mendakwa penduduk Kampung Longgom menemui dua kanak-kanak yang bahagian kepala, kaki dan tangan mereka dipotong.

Mesej berkenaan turut mendakwa kedua-dua mangsa kehilangan organ dalaman.

Sehubungan itu, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. - K! ONLINE