Lelaki berusia 28 dan 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pada pukul 9.25 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di satu kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway di sini.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta Toyota Vios yang dinaiki suspek telah menemukan 119 ketulan mampat dadah disyaki jenis ganja di tempat duduk belakang kereta itu.

“Pihak polis telah menahan suspek dan menyita kereta tersebut, sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 dan wang tunai bernilai RM1,150 yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM60,000.

“Hasil siasatan mendapati bahawa suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah itu sejak tiga bulan lalu dan ganja tersebut diperoleh daripada negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.

Kamarul Zaman menambah, suspek telah menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu dan ganja itu diperoleh daripada negara jiran.

“Ganja tersebut disyaki diedarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan jumlahnya boleh dibekalkan untuk 242,640 penagih.

“Hasil semakan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mereka adalah negatif,” ujarnya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Mei ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE