Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan membantu dalam usaha pencarian individu dikehendaki itu sekiranya diperlukan.

"Polis Perak akan membantu mengesan Farhash Wafa sekiranya diperlukan.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah pun memberi kenyataan berhubung kes tersebut dan sekiranya bantuan dipohon, kita akan bantu dari segi risikan dan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Perak Tengah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, bekas Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintendan Barudin Wariso dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Perak Tengah menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.

Abdul Hamid dalam kenyataannya kelmarin menggesa Farhash Wafa tampil menyerah diri untuk direkodkan percakapan sekali gus membantu siasatan kes berkenaan walaupun laporan polis telah ditarik balik oleh mangsa.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam, 31 Ogos lalu, seorang jurulatih tinju berusia 29 tahun diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi oleh sekumpulan 12 lelaki termasuk Farhash Wafa ketika berada di tempat letak motosikal di luar kompleks sukan tersebut.

Bagi membantu siasatan, Farhash Wafa diminta tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya namun sehingga kini, Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal berbuat demikian.

Dalam perkembangan berlainan, Razarudin memberitahu, pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu berhubung rakaman audio dipercayai pembantu Exco kerajaan negeri, Abdul Yunus Jamhari yang dikatakan cuba berunding dengan pihak berkuasa mengenai dakwaan rasuah yang dihadapi Exco berkenaan.

"Rakaman audio berkenaan akan dihantar ke forensik untuk dianalisis bagi menentukan pemilik sebenar suara dalam rakaman tersebut," katanya. - K! ONLINE