Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga telah dihubungi oleh peguam kepada Datuk Seri yang terlibat dalam kes itu.

“Sehingga masa kini, dia masih berada di dalam negara dan saya minta beliau bawa kliennya berjumpa kami.

“Polis tidak akan berkompromi dengan kejadian sebegini dan memandang serius untuk menyelesaikannya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan menambah, pihaknya telah menahan seramai 13 individu yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

“Kita menganggarkan bahawa seramai 40 individu terlibat semasa hari kejadian.

“Kita masih menjalankan siasatan dan tangkapan akan dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.

Kosmo! pada 10 Mei lalu melaporkan Polis memburu empat gengster termasuk seorang Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes merusuh menggunakan senjata api kerana berebut gadis dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini baru-baru ini.

Mereka yang diburu dikenali sebagai Cho Chai @ Hong Chai, Bakhtiar Rahim, Derek dan Lew. Kesemua berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an. - K! ONLINE