Dalam serbuan kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berketurunan Siam berusia 46 tahun yang disyaki majikan kepada warga asing tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) dan JSJ Padang Terap melakukan pemeriksaan terhadap dua blok rumah ladang di kampung tersebut.

"Hasil pemeriksaan menemui seramai 23 warga Kemboja tanpa sebarang dokumen perjalanan dan permit sah yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh ladang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa terdiri daripada 11 lelaki, sembilan perempuan serta dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Menurut Mior Farid, pemeriksaan turut menemui tiga khemah yang dijadikan tempat untuk mengumpul daun ketum serta kira-kira 205 bungkusan plastik berisi 1,025 kilogram daun tersebut.

"Barang-barang kegunaan untuk bekerja juga dirampas iaitu pakaian, kasut, lampu suluh, guni beg dan pisau," ujarnya. - K! ONLINE