Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihak polis menghentikan siasatan kes itu atas arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. 

"Kami telah rujuk kes ini kepada pegawai pendakwaan negeri dan kes itu diarahkan disiasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar. 

"Polis hentikan siasatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sambung siasat kes itu berdasarkan akta dibawah penguatkuasaan jabatan itu," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Sepetang Bersama Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri Sembilan dan Perkep Port Dickson di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Terdahulu, Noor Azam berkata, polis telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk Taman Lavender Height baru-baru ini dan berharap isu itu tidak berpanjangan.

Kosmo! pada 7 Januari lalu melaporkan tiga ekor anjing termasuk seekor anjing milik seorang lelaki berusia 50 tahun di Taman Lavender Heights ditemui mati dipercayai akibat diracun.

Lelaki itu membuat laporan polis dan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan. 

Maklumat yang tular di media sosial mendakwa anjing terbabit diracun oleh pihak yang marah kerana anjing berkenaan sering memasuki Masjid Ibnu Khaldun di kawasan perumahan itu. - K! ONLINE