Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan Muhammad Aniq Adli Muhamad Adli.

Jelasnya, ibu remaja itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis di sini kira-kira pukul 9.12 pagi tadi.

“Polis sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lain bagi mengesan remaja tersebut.

“Siasatan telah dijalankan dan kertas siasatan kes orang hilang telah dibuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Terdahulu, ibu remaja itu dipercayai menggunakan akaun Facebook Nisa Idris telah memuat naik satu hantaran mengenai kehilangan Muhammad Aniq awal pagi tadi.

Jelasnya, beliau memohon jasa baik orang ramai untuk menghubunginya jika bertemu dengan Muhammad Aniq.

“Minta jasa baik encik atau puan kalau nampak gambar budak lelaki di bawah boleh hubungi saya dengan kadar segera. Keluar rumah pada 6 September 2019 (Jumaat) pukul 7.30 malam untuk solat Maghrib di surau Fasa 5A, Presint 9 tapi sampai sekarang belum balik.

“Lokasi Fasa 5 dan 6, Presint 9. Baju kemeja T putih berseluar 'track'. Mohon hubungi saya 014-3267 534. Terima kasih semua," katanya. - K!ONLINE