Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kereta Proton Waja tersebut melanggar sebuah motosikal jenis Honda Ex5 di lokasi kejadian sehingga menyebabkan penunggangnya, M. Anandan, 28, maut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian Proton Waja tersebut sedang bergerak dari arah Sepang menghala ke Lukut, manakala motosikal itu bergerak dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja itu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal berkenaan. Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, siasatan pihak polis mendapati pemandu Proton Waja itu tiada di lokasi kejadian kerana disyaki melarikan diri.

Jelas beliau, Proton Waja itu ditemui pihak polis ditinggalkan oleh pemandunya di tepi sebuah kedai makan di kawasan Ambang Kota dekat sini.

Tambah beliau, semakan mendapati kenderaan tersebut didaftarkan atas nama individu yang beralamat di Kampung Baru, Sepang Selangor.

"Usaha mengesan pemandu Proton Waja itu sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE