Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, laporan polis dibuat oleh mangsa yang berusia 13 tahun pada Khamis lalu.

“Perbuatan suspek berusia 39 tahun itu terbongkar apabila mangsa yang tidak tahan dengan sikapnya itu telah memberitahu gurunya di sekolah tentang kejadian tersebut.

“Mangsa mendakwa suspek mula meraba keseluruhan tubuhnya sehingga semakin berani dengan merogol anak perempuannya itu sebanyak tiga kali seminggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, mangsa mendakwa telah diugut suspek untuk mendiamkan diri dan jika perkara itu dibocorkan kepada ibunya, suspek akan memukul ibu mangsa.

“Pegawai perubatan di hospital telah mengesahkan terdapat koyakan pada bahagian ‘hymen’ (selaput dara) dan juga kesan melecet.

“Mangsa telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, susulan laporan polis tersebut, suspek telah melarikan diri dan pihak polis sedang giat menjalankan gerakan untuk mengesannya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noorlaila Kairuddin di talian 019-2299 906 atau pergi ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram,” katanya. - K! ONLINE