Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abd. Aziz berkata, kejadian itu disedari oleh salah seorang ahli jawatankuasa masjid kira-kira pukul 4.30 petang selepas mendapati kunci mangga tabung tersebut berada di atas lantai.

"Pengadu kemudian telah memeriksa tabung tersebut dan mendapati sejumlah wang di dalamnya dengan anggaran RM400 telah lesap sebelum laporan polis dibuat.

"Difahamkan sejumlah besar wang tersebut adalah dalam bentuk duit syiling," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis sedang mengesan suspek tersebut berdasarkan maklumat dari rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam masjid berkenaan.

Jelasnya, rakaman tersebut menunjukkan suspek memakai topi berwarna biru telah masuk ke ruangan solat dan mengumpil peti besi berkenaan sebelum melarikan sejumlah wang.

"Wang tersebut sepatutnya dikutip oleh bendahari masjid selepas waktu solat Jumaat lalu, namun ahli jawatankuasa itu dikatakan berada di luar kawasan dan merancang untuk mengambilnya pada waktu lain," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE