Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi sewaktu mangsa, seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an sedang berjalan memasuki sebuah pasar raya.

"Mangsa kemudiannya telah dihampiri oleh dua lelaki bermotosikal yang kemudiannya bertindak meragut rantai yang dipakainya.

"Susulan kejadian itu mangsa telah kerugian kira-kira RM2,000 ringgit dan pihak polis juga telah menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan berhubung kejadian sedang berjalan dan usaha untuk menjejaki kedua-dua suspek yang dipercayai warga tempatan sedang giat dilakukan.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," tegas beliau.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi sembilan saat tular di laman sosial Facebook memaparkan seorang wanita yang berjalan bersama seorang lelaki sedang berjalan memasuki sebuah pasar raya sebelum dihampiri dua individu bermotosikal.

Kedua individu bermotosikal yang datang dari hadapan itu kemudiannya bertindak meragut rantai yang dipakai wanita berkenaan sebelum memecut untuk melarikan diri. - K! ONLINE