Penangkapan dua orang suspek tersebut adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang pekerja kedai serbaneka di Jalan Maharajalela, di sini yang telah dirompak pada 25 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, suspek itu ditangkap sepasukan polis oleh cawangan D9 yang telah menjalankan risikan mengenai kejadian berkenaan.

“Serbuan pertama dilakukan di Taman Bukit Mewah, Kajang yang berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang menjadi dalang rompakan tersebut. Turut ditemui adalah beberapa peralatan yang digunakan sewaktu kejadian itu.

“Antara barang rampasan adalah dua buah topi keledar, sebilah pisau, sepasang kasut dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek pertama, pihak polis melakukan serbuan kedua di Taman Unipark Suria, Kajang dan sekali gus berjaya menahan suspek lelaki kedua berumur 18 tahun yang dipercayai rakan sejenayah suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, suspek dipercayai terlibat aktif dalam kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam sejak tiga bulan lalu sehingga kini.

Katanya, kedua-dua suspek juga mengaku melakukan jenayah samun di sekitar daerah Dang Wangi, Cheras, Ampang dan juga Kajang.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 September yang lalu sehingga Ahad ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan dengan senjata yang mana sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat. - K! ONLINE