Kesemua suspek yang berusia 28 tahun hingga 56 tahun ditahan di sekitar Sentul dan Lembah Klang bermula pada 13 Jun lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, kumpulan pertama yang terdiri tujuh individu ditahan di sekitar ibu negara, Seri Kembangan dan Ampang.

“Kesemua mereka terdiri daripada lima lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara India dan seorang wanita tempatan.“

Pihak polis turut merampas dadah jenis heroin, metaphetamine, ketamin dan 75 biji pil ekstasi yang kesemuanya bernilai RM10,900,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Tiga suspek didapati positif dadah jenis amphetamine manakala dua lagi positif dadah methamphetamine.

Kesemuanya direman bermula dari Jumaat lalu hingga 22 Jun ini.

Polis juga telah memberkas seramai enam individu semalam di sekitar ibu negara daripada kumpulan kedua.

Menurut Shanmugamoorthy, pihaknya juga merampas dadah jenis Pil Yaba, Methamphetamine dan cecair MDMA yang bernilai RM22,300.

“Lima lelaki berusia antara 28 hingga 37 tahun ditahan di kawasan Medan Putra Business Centre di sini.

“Penahanan tersebut membawa kepada tangkapan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun dan lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berada di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Beliau memberitahu, saringan ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah amphetamine dan hanya seorang sahaja mempunyai tujuh rekod jenayah.

“Kesemua suspek direman selama seminggu bermula semalam hingga 23 Jun ini.

“Kes melibatkan kedua-dua kumpulan ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - K! ONLINE