Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima notis permohonan daripada penganjur, bagaimanapun tiada kebenaran di berikan atas sebab keselamatan. 

"Pihak polis sekeras-kerasnya menyatakan bahawa tiada kebenaran diberikan untuk penganjuran perhimpunan ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang berdegil. 

"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PDRM tidak memberikan kebenaran untuk perhimpunan ini diadakan atas sebab-sebab keselamatan," katanya pada satu sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut Mazlan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang berdegil termasuklah menangkap mereka yang terlibat dengan kedua-dua perhimpunan ini. 

"Kami akan mengambil keterangan mereka yang terlibat dan telah mengatur gerak bertugas anggota serta pegawai polis bagi memastikan tiada perhimpunan yang diadakan. 

"Penutupan serta lencongan lalu lintas juga akan dilakukan melibatkan tiga laluan utama iaitu Jalan Tun Sambathan, Jalan Bank Rakyat dan Jalan Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Little India," tegas beliau. 

Tambah beliau, pemeriksaan rapi juga akan dilakukan di kawasan tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. 

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dan jangan pergi ke kawasan berkenaan untuk berhimpun kerana ia mampu mengganggu gugat keselamatan," jelas beliau. 

Terdahulu, dua perhimpunan iaitu perhimpunan Bantah Tulisan Khat Sekolah Tamil dan perhimpunan Say No To Zakir Naik, Equal Right To Indians & Other Races di rancang akan diadakan di Little India di sini pada pukul 7 petang ini dan 2 petang esok.  - K! ONLINE