Kemalangan pada pukul 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd. Salleh Abd. Rahim, 32, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 datang dari arah Sepang menghala ke KLIA.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta yang masih belum dapat dikenal pasti.

“Kemalangan itu mengakibatkan motosikal mangsa terbabas ke bahagian kanan jalan sebelum melanggar penghadang besi.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Zulkifli, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas proses resusitasi dilakukan di zon merah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE