Lima buah poliklinik ATM itu akan dibina di negeri Sarawak, Johor, Pahang, Kedah serta Terengganu. 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, tujuan poliklinik tersebut dibina bagi memberikan khidmat kesihatan secara bersepadu kepada anggota serta veteran ATM. 

“Di Terengganu akan dibangunkan sebuah Poliklinik ATM di Kem Seberang Takir, Kuala Nerus. Ia bukan sahaja buat warga tentera dan keluarga tetapi juga untuk veteran yang berada di sekitar negeri ini. 

“Kesemua fungsi-fungsi yang ada di sebuah hospital daerah akan disediakan di poliklinik tersebut dan ia merangkumi semua aspek misalnya pusat pergigian, pusat kesihatan termasuk menempatkan mesin dialisis,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Veteran ATM Terengganu di Hotel TH di sini hari ini. 

Jelas beliau lagi, pembinaan kesemua lima poliklinik tersebut dijangka selesai dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11). 

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menyatakan pembinaan Poliklinik ATM Kem Penrissen, Sarawak menjadi perintis kepada projek poliklinik-poliklinik baharu yang lain. - K! ONLINE