Dalam banyak-banyak lagu itu, penulis memilih untuk mendengar lagu Hukum Karma dendangan kumpulan rock tempatan, Wings yang diterbitkan pada tahun 1988.

Gila darjat, gila nama, gila kuasa, gila harta, semua gila adalah antara lirik yang terkandung dalam lagu tersebut. Ketika melayan halwa telinga ini, penulis terbayangkan senario politik orang Melayu sejak akhir-akhir ini.

Penulis teringat ucapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang enam parti politik Melayu yang wujud ketika ini. Demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah, Dr. Mahathir mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti.

Beliau berkata, setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO dan jika lebih banyak parti politik ditubuhkan, orang Melayu akan terus berpecah belah.

Namun, idea itu mencetuskan polemik dalam media massa sama ada media cetak, elektronik atau media sosial terutamanya Twitter. Rata-rata pemimpin-pemimpin parti politik itu tidak bersetuju dan mendakwa cetusan idea Perdana Menteri tersebut mempunyai agenda tersembunyi.

Sampai kiamat pun tidak mungkin keenam-enam parti politik orang Melayu ini akan bergabung jika mempunyai pemimpin-pemimpin yang gila darjat, gila nama, gila kuasa, gila harta dan semua gila seperti yang terkan­dung dalam lirik lagu Hukum Karma itu.

Mana mungkin pe­mimpin-pemimpin ter­tinggi politik itu melepaskan jawatan dan kedudukan mereka semata-mata mahu bersatu membentuk sebuah parti besar orang Melayu.

Mereka mendakwa, parti mereka lebih baik kerana mempunyai ideo­logi dan matlamat yang berbeza berbanding parti-parti komponen lain.

Masing-masing mahu terus berkuasa, meme­gang jawatan tinggi, memiliki kekayaan, mempunyai pengaruh dan dihormati rakyat.

Macam-macam ca­da­ngan dikemukakan tetapi tidak mungkin parti politik yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dibubarkan untuk bergabung dengan parti politik yang kalah.

Sebagai contoh, dalam medan peperangan. Secara logiknya, tidak mungkin pasukan yang menang akan menyerahkan kuasa pemerintahan mereka kepada pasukan yang dikalahkan.

Sepanjang 61 tahun Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah, belum ada dalam sejarah negara seorang pemimpin politik yang kaya menjadi muflis kerana menginfakkan harta mereka kepada rakyat.

Jauh sekali untuk mencontohi sifat Khalifah Uthman bin Affan yang menggunakan harta kekayaan untuk membantu rakyat miskin selain mengembangkan syiar Islam.

Bagi penulis, biar apa sekalipun agenda Dr. Mahathir, ia mempunyai matlamat yang baik untuk meneruskan kelangsungan parti politik dan masa depan orang Me­layu. Ia juga bagi memastikan ta­nah air milik orang Melayu ini tidak tergadai suatu hari nanti.

Jangan sampai perebu­t­an kuasa politik ini akan menyusahkan rakyat. Kita tidak mahu rakyat berada dalam situasi gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.

Kita perlu mengambil iktibar daripada sejarah kerajaan Melayu Melaka.

Begitu juga dengan beberapa empayar Islam seperti Uthmaniah serta kerajaan silam Rom, Yunani selain China, Parsi mahupun di England.

Banyak kisah yang menceritakan tentang keruntuhan kerajaan tersebut berpunca daripada pengkhianatan pihak dalaman atau individu yang dipercayai oleh pemerintah ketika itu.