Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi tadi selepas ke hospital menunggang motosikal untuk mendapatkan rawatan.

Isterinya, Zaharah Hassan, 64, berkata, bagaimanapun dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak hospital memberitahu suaminya sedang tenat.

Menurutnya, awalnya suaminya itu memberitahu dia hanya mahu ke galeri wayang kulit di hadapan rumah.

"Saya hairan macam mana dia boleh menunggang motosikal seorang diri ke Hospital Tumpat pada waktu tengah malam. Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik kecuali batuk dan asma beberapa hari lalu.

"Sebelum ini arwah sudah ke klinik dan malam tadi mungkin dia rasa tak sihat tetapi tidak memberitahu keluarga. Allahyarham sudah lama menderita penyakit jantung, kencing manis dan asma," katanya.

Zaharah memberitahu, kelmarin Allahyarham nampak sibuk di galeri wayang kulitnya kerana ada pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) datang untuk melihat pameran watak wayang kulit.

Katanya, pemergian arwah amat mengejutkan seluruh ahli keluarga.

Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Laut selepas solat Jumaat. - K! ONLINE